Berita Guru!

Guru Dimaki Hamun Dan Ditumbuk Oleh Pelajar

Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di ibu kota bukan saja dimaki-hamun pelajarnya, malah turut ditumbuk berulang kali pada muka menyebabkannya mengalami kecederaan.


Difahamkan, dalam kejadian Isnin lalu, pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun terbabit hilang kawalan selepas didenda guru itu kerana tidak membawa buku teks mata pelajaran diajarnya.

Semuanya bermula kira-kira jam 12 tengah hari apabila guru berusia 24 tahun itu mengarahkan pelajar tertabit keluar dari kelasnya dan berdiri di hadapan pintu sebagai hukuman.

Menurut sumber, pelajar terbabit dalam keadaan marah keluar dan berdiri di hadapan kelasnya sambil mencaci guru berkenaan.

“Bagaimanapun, guru berkenaan tidak mengendahkan tindakan pelajar terbabit dan meneruskan sesi pembelajaran,” katanya.

Sumber itu berkata, sikap biadab pelajar itu berterusan apabila dia cuba mengeruhkan keadaan dengan mengganggu pelajar lain yang mengikuti pembelajaran.

“Setiap kali ditegur guru berkenaan, pelajar terbabit memaki-hamun mangsa menyebabkan keadaan tegang seketika. Bukan sekali dua ditegur, guru berkenaan menegurnya lebih 10 kali, namun dia masih berdegil dan cuba mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Difahamkan, pelajar itu menghamburkan kata-kata kesat kepada guru berkenaan lebih 20 minit menyebabkan mangsa mula berang.

Menurut sumber itu, guru berkenaan keluar dari kelasnya sebelum memukul bahu pelajar terbabit menggunakan buku teks dipegangnya.

Bagaimanapun, buku itu terjatuh apabila pelajar terbabit mengelak.

Tindakan guru berkenaan yang tunduk untuk mengambil semula buku itu mengundang padah apabila dia diserang pelajar terbabit.

Sumber itu berkata, guru berkenaan ditumbuk lebih lima kali pada muka menyebabkannya cedera.
Difahamkan, guru itu tidak melawan kerana terkejut tindakan berani dan melampau pelajar terbabit.
Menurutnya, kejadian itu bukan saja disaksikan pelajar lain, malah beberapa guru yang mengajar di kelas bersebelahan.

“Seorang daripada guru yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan memberkas pelajar terbabit yang sedang mengamuk,” katanya.

Pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Guru berkenaan diarahkan tampil di balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, pelajar terbabit sudah dibuang sekolah berikutan tindakan keterlaluannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu kes itu sudah dirujukkan semula kepada pentadbiran sekolah untuk tindakan lanjut.

Usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan lanjut pihak pentadbiran sekolah berkenaan gagal.

Sumber-myMetro

 

 

Guru sudah jadi kerani!

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid

2010/09/26
BESARNYA cabaran dan tanggungjawab dipikul guru masa kini menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat adakah golongan itu mampu melaksanakan amanah dengan sempurna.

FAHAMI MEREKA...ambillah tahu mengenai kesukaran guru supaya mereka rasa dihargai.

PENUH DUGAAN...mengajar pelajar sudah cukup mencabar, guru tidak wajar dibebankan lagi dengan tugasan sampingan remeh sebaliknya fokus pada tanggungjawab hakiki.
Bukan sekadar mendidik, pelbagai tuntutan kerjaya tidak sepatutnya kini mereka galas menjadikan tumpuan terhadap proses penjanaan dan pembelajaran ilmu terjejas.
Lebih menyedihkan, golongan itu turut menjadi sasaran kecaman masyarakat jika gagal melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri menyebabkan guru semakin terdesak serta tertekan.

Apakah benar peranan guru sebagai sumber pemangkin ilmu semakin terhakis sebaliknya menjadi golongan itu diperkotak katikkan hingga mereka dalam dilema. Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata golongan guru hari ini bukan sekadar memegang tanggungjawab sebagai pendidik malah anggota masyarakat secara keseluruhan.

Menurutnya, cabaran utama bukan lagi menyalurkan ilmu kepada pelajar sebaliknya turut mendidik masyarakat melalui peranan di luar waktu persekolahan sekali gus memberi bebanan dalam melaksanakan tumpuan dan tanggungjawab sebenar.

"Dalam perguruan, tugas hakiki adalah mengajar, malangnya guru masa kini dilambakkan dengan pelbagai tanggungjawab sukar dan mencabar. Mereka bukan sekadar guru tapi turut mendidik masyarakat secara keseluruhan.

"Malangnya masyarakat bersikap sambil lewa dan enggan bersama memikul tanggungjawab mendidik menyebabkan mereka semakin tertekan. Guru juga dihimpunkan pelbagai tugasan tidak sepatutnya seperti perkeranian.

"Justeru, bagaimana mahu menumpukan perhatian pada tugasan? Masyarakat hanya tahu memberi tekanan tapi enggan membantu," katanya.

Bukan isu baru guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab remeh yang menuntut pengorbanan masa, antaranya mengurus dan mengemaskini sistem maklumat pelajar (Emis), sistem salah laku, pendaftaran, yuran, mengurus kumpulan wang amanah pelajar miskin (KWAPM), rancangan makanan dan susu tambahan.

Memburukkan keadaan, mereka terpaksa berhempas pulas menghabiskan sukatan pengajaran kerana dihantar berkursus selain pembelajaran tergendala.

Mengulasnya, Anuar berkata waktu persekolahan padat serta pelbagai perancangan dibuat menjadikan waktu guru semakin terhad hingga menyukarkan proses pembelajaran berjalan lancar.


"Sungguhpun tugasan sampingan tidak sukar, banyak waktu terbuang. Guru sering merungut kerana terlalu terikat dengan pelbagai tuntutan menyebabkan proses pembelajaran tergendala.

"Ia bukan remeh dan perlu diberi perhatian kerana bersangkut paut pencapaian pelajar masa depan. Guru sentiasa dipersalahkan jika pelajar gagal.

"Masyarakat pula mahukan kecemerlangan tapi enggan memahami. Apabila guru gagal menyempurnakannya, bukankah akan menimbulkan konflik? "Tindakan segera perlu diambil kerana bimbang akan menjejaskan mutu pendidikan keseluruhannya," katanya sambil meminta pihak berkenaan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut itu.

Ditanya adakah rungutan itu disebabkan guru sudah lama dalam zon selesa, beliau berkata golongan itu boleh menerima perubahan namun perlu ada batasan dan mekanisme tertentu bagi menanganinya.
"Guru boleh menerima perubahan malah sedar tanggungjawab dipikul semakin berat tapi perlu ada tolak ansur. Mereka juga ada tanggungjawab lain perlu dipenuhi seperti keluarga.

"Masyarakat juga harus memberi sokongan dan bersama menggembleng tanggungjawab. Jangan lepaskan sepenuhnya pada guru kerana tidak adil," katanya.

Bagi mengatasi kemelut itu, beliau mencadangkan penyusunan semula tugas pekeranian sedia ada hingga tidak mengganggu tugas hakiki guru selain menambah lagi pembantu guru bertaraf kerani.

Bilangan pelajar turut perlu dikurangkan supaya guru tidak terbeban dalam mengemaskini data peribadi selain menerapkan peranan alumni untuk memberi pembelajaran berbeza berdasarkan pengalaman pekerjaan.

"Konflik perlu diatasi secara berhemah supaya semua pihak mendapat manfaatnya. Penyelesaian bukan sekadar jangka pendek tapi berpanjangan demi kebaikan generasi seterusnya.

"Menjadi guru bukan mudah namun kerjaya itu sangat mulia, perlu berlapang dada menerima apa jua cabaran manakala masyarakat juga jangan bersikap lepas tangan.

"Proses penjanaan ilmu tidak akan terhenti, justeru pelbagai pihak perlu mencari penyelesaian supaya konflik sedia ada dapat diatasi," katanya.

Sumber : hmetro.com.my


Murid belasah guru guna penyodok sampah


KUALA LUMPUR 18 April - Murid berumur 12 tahun membelasah seorang guru menggunakan kayu penyodok sampah - inilah nasib seorang guru di sebuah sekolah di Taman Desa, di sini pagi semalam.

Tindakan kasar itu dilakukan setelah guru berusia 26 tahun berkenaan memarahi dan menyuruhnya membuat kerja sekolah yang belum disiapkan sambil berdiri.

Polis telah mengambil keterangan daripada guru terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian pukul 11.55 pagi, guru berkenaan telah memarahi murid tersebut kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, murid Tahun 6 itu bagaimanapun tidak mengendahkan kata-kata guru tersebut sebaliknya duduk di tempat duduknya semula.

``Ketika mangsa sedang menyemak buku, tiba-tiba murid tersebut menyerangnya.

``Ekoran dibelasah beberapa kali menggunakan kayu penyodok, mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri dan lebam di mukanya,'' katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.

Difahamkan murid tersebut tidak hadir ke sekolah sehari selepas kerja sekolah tersebut diberikan.

``Apabila dia kembali ke sekolah semalam, cikgu tersebut memarahinya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah walaupun sudah beberapa hari,'' kata Mohd. Dzuraidi.

Menurutnya, polis juga akan menghubungi ibu bapa murid terbabit untuk memberitahu mengenai kejadian itu dan tingkah laku anak mereka.

Sumber : Mesra.net 

**************************************************************************************

Dibelasah kerana pensel
JOHOR BAHRU: Bagai dirasuk, seorang murid tahun enam sebuah sekolah di Kulaijaya di sini, didakwa tergamak membelasah rakan sekelasnya dengan menumbuk dan menyepak muka mangsa sehingga berlumuran darah dan bengkak kedua-dua belah mata, hanya kerana sebatang pensel.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari, Khamis lalu, mangsa, Amirul Farhan Ramli, 12 hanya mampu memeluk tubuh sambil menahan sakit menerima asakan daripada penyerangnya juga dikatakan seorang kaki buli.

Menurut Amirul, kejadian berpunca daripada adegan tolak-menolak antara mereka berdua selepas tamat kelas tambahan khas bagi murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sementara menunggu van sekolah menjemput mereka.

“Selepas tamat kelas, murid berkenaan bertindak kasar secara tiba-tiba dengan menolak tubuh saya. Geram dengan sikapnya gemar mencetuskan kemarahan orang lain, saya mengambil pensel kepunyaannya dan meletakkannya di meja belakang.

“Namun, tindakan spontan itu mengundang ketawa rakan sekelas yang menyaksikan kejadian,” katanya.

Amirul berkata, disebabkan malu apabila ditertawakan, murid berkenaan mula naik angin dan menanggalkan kasut yang dipakai semata-mata untuk mengetuk kepalanya.

“Saya yang tidak dapat menahan sabar dengan tindakan kurang ajar murid berkenaan terus menerpa ke arahnya sebelum menolak tubuhnya, sementara rakan lain terus memujuk supaya kami menghentikan pergaduhan.

“Dia bagaimanapun bertukar menjadi seperti samseng apabila terus menyerang dengan menumbuk mata dan menendang muka saya secara bertalu-talu sehingga rebah dan berlumuran darah,” katanya.

Malah katanya, tidak cukup dengan itu, penyerangnya bertindak lebih agresif dengan mematahkan besi meja untuk memukul kepalanya.

“Mujur dia hanya sempat mengacu besi berkenaan ke tubuh saya kerana dihalang rakan sekelas. Jika tidak, saya mungkin mengalami kecederaan lebih parah,” katanya.

Selepas beberapa minit dikerjakan murid terbabit, Amirul diseret dan dipapah keluar dari kelas beberapa rakannya yang bimbang pergaduhan berlarutan sebelum pulang ke rumah dalam keadaan cedera di muka.

Sementara itu, bapa mangsa, Ramli Sipon, 42, berkata dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak keduanya itu menerusi panggilan telefon daripada jiran berdekatan.

“Jiran telefon dan beritahu muka Amirul bengkak dan bahagian bawah mata dan mulutnya berdarah kerana dibelasah rakan sekelas. Saya bergegas pulang untuk membawanya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kulai,” katanya.

Menurut Ramli, dia kesal dengan pihak sekolah yang bertindak seolah-olah cuba menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan pihak luar.

“Saya ke sekolah Amirul pada keesokannya (Jumaat) untuk menghantar sijil cuti sakit dan berbincang dengan guru mengenai kejadian menimpa anak.

“Namun saya kesal dengan permintaan pihak sekolah terbabit seperti mahu menjaga reputasi berbanding melakukan siasatan dan bertindak bagi menghukum murid yang menyebabkan kecederaan anak saya,” katanya.

Sumber : Mesra.net 

******************************************************************************************


Murid digantung sekolah 2 minggu kerana pukul guru
 

KUALA LUMPUR:  Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Taman Desa di sini yang memukul gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April lepas dikenakan tindakan gantung sekolah selama dua minggu berkuatkuasa 20 April.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar bahawa sepanjang tempoh penggantungan, murid berumur 12 tahun itu akan dihantar menghadiri beberapa sesi kaunseling serta kursus pemulihan.

Bercakap kepada pemberita di sekolah itu hari ini, Noh berkata murid berkenaan juga akan dibawa menghadiri program kokurikulum peringkat kebangsaan di Taman Rimba Templer pada 8 Mei.

Dalam kejadian itu seorang guru berusia 26 tahun dibelasah dengan kayu penyodok sampah oleh murid itu setelah guru berkenaan memarahi dan menyuruhnya menyiapkan kerja sekolah sambil berdiri.

Noh juga berkata wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan turut menganggotai jawatankuasa lembaga tatatertib sekolah bagi memastikan sebarang kes tatatertib murid dapat diselesaikan secara dalaman dengan semangat kekeluargaan.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua sekolah agar pengerusi PIBG atau wakilnya menganggotai jawatankuasa lembaga tatatertib sekolah.

"Kalau selama ini anggota lembaga tatatertib sekolah cuma terdiri daripada guru sekolah berkenaan sahaja, tetapi kini kita akan mewajibkan pengerusi PIBG atau wakilnya menganggotai jawatankuasa lembaga tatertib mewakili ibu bapa.

"Kita juga berharap sebarang kes disiplin sekolah dapat dibincang dan diselesaikan antara ibu bapa, guru dan murid terlibat," kata Noh.

Beliau mencadangkan agar masalah disiplin pelajar dijadikan agenda perbincangan pada setiap mesyuarat PIBG.- BERNAMA

Sumber : Mstar.com


******************************************************************************************


Ibu dibelasah lima pelajar perempuan depan anak



PETALING JAYA: Seorang eksekutif wanita dibelasah sekumpulan enam pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di sini, di depan anaknya dan puluhan pelajar lain, kelmarin.

Ibu berusia 33 tahun itu dikatakan diserang di luar kawasan sekolah berkenaan, kira-kira jam 1.15 tengah hari, selepas memarahi seorang daripada pelajar terbabit yang mengganggu serta mengejek anak perempuannya yang juga pelajar Tingkatan Lima sekolah itu.

Berikutan kejadian itu, Zatul Bazamah yang mengalami kesakitan di seluruh badan, membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Arjunaidi berkata, polis juga sudah mengambil keterangan semua enam pelajar terbabit, kelmarin.

Sementara itu, Zatul Bazamah berkata, sebelum kejadian itu, beliau yang menunggu anaknya pulang dari sekolah, melihat seorang pelajar terbabit mengganggu dan mengejek anaknya.
“Saya turun dari kenderaan dan bertanya kepada pelajar perempuan itu kenapa dia mengganggu anak saya. Bagaimanapun, pelajar itu menjawab secara kasar dan bertanya siapa saya untuk masuk campur urusannya menyebabkan saya hilang sabar dan menolak kepalanya tetapi dengan perlahan.

“Sejurus selepas itu, pelajar perempuan terbabit bersama lima rakannya menyerang saya. Ketika itu, anak saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit dan cuba meleraikan pergelutan,” katanya.

Zatul Bazamah berkata, bulan lalu beliau juga pernah membuat laporan polis terhadap pelajar perempuan terbabit kerana sering mengganggu dan mengugut anaknya.

“Saya tidak pasti kenapa pelajar perempuan itu selalu mengganggu dan mengugut anak saya. Saya berharap pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri mengambil perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.
Sumber : bharian.com


****************************************************************************************

Kereta guru mandi cat


JOHOR BAHRU: Komen provokasi mengutuk dan mengecam guru di laman sosial facebook membabitkan belasan pelajar sebuah sekolah menengah berhampiran Taman Damai Jaya di sini, membawa tindakan biadab seorang pelajar menyimbah cat kereta guru terbabit pada waktu persekolahan, tengah hari kelmarin.
Komen di kalangan pelajar dipercayai bermula kira-kira dua minggu lalu selepas pengurusan sekolah mengenakan tindakan disiplin terhadap kira-kira 100 pelajar dengan pemantauan briged komuniti membabitkan enam anggota polis.
Sejak itu, pelajar sekolah terbabit termasuk yang tidak dikenakan tindakan disiplin memberikan pelbagai komen provokasi di Facebook termasuk menyerang peribadi guru disiplin sekolah berkenaan.

Guru berkenaan, Hariri Yusof, 43, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, dia sibuk mengadakan perbincangan bersama guru lain berhubung sambutan Hari Guru yang akan diadakan di sebuah sekolah lain, semalam.

Katanya, apabila keluar dari bilik mesyuarat, dia didatangi dua anaknya yang juga pelajar di sekolah sama memaklumkan Proton Waja miliknya disimbah cat.

“Saya bergegas ke tempat meletak kereta di pekarangan sekolah dan terkejut apabila cermin hadapan kereta disimbah cat coklat.

“Apabila diteliti, saya percaya cat berkenaan dicampur bahan kimia lain serta habuk pensel, selain melihat bahagian bawah pengelap cermin dirosakkan.

“Melihat kejadian itu saya memberitahu pengurusan sekolah sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini bagi membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, dia membersihkan kereta di sebuah pusat cuci kenderaan bagi menghilangkan kesan cat itu.

Katanya, semalam ketika pengumuman, dia memaklumkan pelajar kejadian berkenaan dan berharap sesiapa yang tahu mengenainya tampil bagi membantu siasatan polis.

“Saya membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.


“Sebelum ini, sebagai guru disiplin saya banyak memberikan amaran, namun kejadian ini dianggap serius dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Walaupun ia dianggap satu ugutan, saya tetap komited dengan tugas sebagai guru dan akan meneruskan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat kenderaan.

Sumber : hmetro.com

*****************************************************************************************

Belajar, mengajar lebih seronok

 BAYANGKAN situasi ini. Sebuah kelas hingar bingar, pelajar berhimpit tidak selesa, guru yang sedang mengajar di depan tidak diendahkan manakala suasana persekitaran diselubungi bau kurang menyenangkan meskipun kipas ligat berputar.
Pelajar merungut kerana kurang diberi perhatian manakala guru gagal melaksanakan proses pembelajaran dengan baik kerana kekurangan tenaga bagi memantau kira-kira 40 pelajar.
Suasana itu bukan rekaan tapi realiti di kebanyakan sekolah di negara ini, gara-gara jumlah yang ramai dalam sesebuah kelas.

Memburukkan lagi keadaan apabila guru yang mengajar terpaksa bekerja keras mengawal perjalanan kelas menyebabkan mudah naik darah dan merencatkan proses pembelajaran.

Namun, mereka tiada pilihan dan perlu akur kerana inilah senario yang perlu dihadapi setiap hari.

Justeru, apabila ada cadangan mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang setiap kelas di sekolah rendah dan menengah, apakah ia jalan keluar kepada masalah sedia ada? Berdasarkan kajian ilmiah di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, jumlah itu sangat ideal bagi memacu kecemerlangan pencapaian di kalangan pelajar.

Di negara ini, rancangan pengenalan jumlah kapasiti kecil di kalangan pelajar dirancang melalui Kokurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983 dan Kokurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) 1988. Malangnya hingga kini ia tidak diimplementasikan.

Konsep 25 pelajar satu kelas membolehkan proses pembelajaran lebih selesa dan menyeronokkan. Komunikasi dua hala boleh berjalan lancar.

Namun, bilakah ia menjadi kenyataan atau hanya sekadar cadangan sedangkan kebanyakan negara maju sudah melaksanakan konsep itu? Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata cadangan itu wajar dilaksanakan segera bagi mengelak masyarakat tertanya-tanya manakala warga sekolah terus menjadi mangsa.

Beliau berkata, walaupun di peringkat cadangan, masyarakat menganggap ia satu harapan, selari dengan kehendak dunia pendidikan masa kini.

"Masyarakat mahukan sistem pendidikan terbaik dan berkualiti tapi jika suasana di kelas padat dan sesak, bagaimana boleh belajar dengan selesa? "Faktor kecemerlangan bukan saja daripada individu tapi keseluruhan termasuk prasarana yang disediakan," katanya.


Menurutnya, jika cadangan itu direalisasikan, ia bakal memberi keselesaan optimum kepada pelajar selain membantu guru lebih fokus mengajar.

Katanya, jumlah pelajar yang kecil bukan saja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran malah memberi impak positif menjana ilmu.

"Sistem pendidikan begitu pantas dengan kepelbagaian modul. Jika guru terpaksa memantau lebih 30 pelajar, pasti suatu kesukaran.

"Kelas ramai bukan saja akan merendahkan kualiti pembelajaran malah menyebabkan penurunan produktiviti," katanya.
Mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara cadangan yang dikenal pasti jawatan kuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah bebanan guru.

Dr Tajul Ariffin berkata, jika ia gagal dilaksanakan sejak 27 tahun lalu, ia bukan alasan untuk menangguhkan lagi kerana warga sekolah dahagakan suasana persekitaran lebih kondusif bagi tujuan pencarian ilmu.

"Untuk melahirkan generasi cemerlang, faktor persekolahan serta pendidikan terbaik adalah salah satu sokongan utama. Jika kemudahan yang diberikan rapuh, ia akan menjejaskan mutu guru pelajar.

"Ia perlu dilaksanakan kerana jika ditangguh terlalu lama akan menjejaskan segala usaha," katanya.

Katanya, sekolah berasrama penuh sudah melaksanakan konsep itu dan hasilnya mereka mencipta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Berbanding sekolah harian, keadaannya berbeza. Saya tidak kata pelajar sekolah harian tidak bijak, tapi keselesaan juga memainkan peranan untuk kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata jika kapasiti pelajar kecil, penumpuan penuh dapat diberikan sekali gus membantu menangani kepincangan pelajar tercicir.

"Ramai yang bergantung pada tuisyen tapi pengecilan jumlah pelajar membolehkan proses pembelajaran lebih dinamik. Guru boleh memantau dan melihat keperluan mereka.

"Pelajar tidak memerlukan tuisyen untuk berjaya. Jika mereka boleh beri sepenuh perhatian di kelas dan guru cekap melihat kelemahan atau potensi pelajar, masalah boleh diselesaikan.

"Malangnya, semua itu sukar kerana kapasiti pelajar lebih daripada kemampuan menyebabkan yang lemah terpaksa mencari alternatif lain. Mereka tidak boleh bersandar harapan kepada guru semata-mata," katanya. Beliau tidak menafikan kelemahan perancangan menjadi punca kegagalan Kementerian Pendidikan melaksanakan konsep 25 pelajar satu kelas.

"Sekolah tidak berubah tapi pelajar sentiasa bertambah. Buatlah bandar terancang seperti Putrajaya.

"Jangan sesuka hati mengubah dasar pendidikan yang lama dibuat. Perancangan penyelidikan dan penyediaannya memakan tempoh yang panjang, jika selalu diubah, bila nak dilaksanakan?" katanya.

Sumber : hmetro.com

********************************************************************************************

Sekolah berasrama di Seremban beri amaran

KUALA LUMPUR: Pentadbiran sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas, termasuk membuang pelajar jika dibuktikan terbabit dalam kejadian enam pelajar melarikan diri dari asrama, Isnin lalu.

Pengetua sekolah itu, Jalil Murah, berkata siasatan teliti akan diadakan bagi memastikan tidak ada pelajar yang teraniaya kerana ia mungkin satu perselisihan antara pelajar baru dan senior sekolah itu.

"Kami berusaha untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik, termasuk memanggil ibu bapa untuk berbincang mengenainya.

"Pertemuan dengan bapa enam pelajar terbabit di sekolah itu kelmarin adalah antara usaha untuk menyelesaikan masalah itu.

"Enam pelajar itu kini dibenarkan bercuti dua minggu hingga cuti semester ini bagi membolehkan pentadbiran sekolah menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai enam pelajar tingkatan dua sekolah itu mengambil keputusan nekad melarikan diri dari asrama kerana bimbang dipukul dan dibuli pelajar tingkatan lima sekolah itu.

Pelajar itu dikatakan sepakat melarikan diri apabila mengetahui pelajar senior sedang merancang untuk memukul mereka pada malam 25 Ogos lalu kerana didakwa membocorkan rahsia kepada guru disiplin mengenai kegiatan peras ugut dan meminta wang.

Berikutan itu, kira-kira jam 6.30 petang, Isnin lalu mereka menuju ke Kuala Lumpur bag
i mengelak diri daripada terus dibuli dan diperas ugut.

Jalil berharap perkara itu dapat diselesaikan bagi memastikan pelajar terbabit kembali ke asrama tanpa perasaan bimbang lagi.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai kejadian itu.

"Kami akan menyiasat kes ini sebaik saja menerima laporan mengenainya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Sumber Manusia, Datuk Waad Mansor mahu Jabatan Pendidikan menyiasat kes enam pelajar itu segera.
Menurutnya, siasatan menyeluruh perlu untuk memastikan punca sebenar kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita tidak menggalakkan budaya samseng bermaharajalela di sekolah," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah juga bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu bagi memastikan imej sekolah itu tidak terjejas.

"Setiap pelajar yang tinggal di asrama penuh perlu ditanamkan semangat bekerjasama dan bukan membuli pelajar lain," katanya.


Sumber : reocities.com 

******************************************************************************************

Guru ditumbuk hingga pengsan

KLUANG, Rabu - Seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Teknik di sini, cedera ringan di kepala dan pipi apabila dipercayai diserang seorang lelaki yang dikatakan waris seorang pelajar sekolah terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi semalam, guru berkenaan, Rozailani Ibrahim, 27, dipercayai ditumbuk di pipi dan belakang kepalanya, menyebabkan dia muntah serta pengsan lebih sejam.

Dia diserang di sebuah bengkel kemahiran sekolah berkenaan apabila pergi ke tempat itu selepas diberitahu ada seorang guru lain ingin berjumpanya.

"Ketika sampai ke bengkel itu, saya nampak tiga lelaki, termasuk seorang guru yang mengajar di sekolah sama, manakala dua lelaki lain tidak dikenali.

"Apabila hendak berjabat tangan, saya percaya ketika itulah saya diserang kerana selepas itu saya tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Rozailani mendakwa diberitahu oleh rakan sekerjanya bahawa dia ditumbuk oleh seorang daripada dua lelaki terbabit.

"Apabila sedar kira-kira jam 1 petang, saya sudah berada di atas kerusi dengan kepala di atas meja di bengkel itu. Kemudian baru beberapa guru lain masuk dan memberitahu kejadian sebenar," katanya.

Rozailani yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, kemudian dibawa rakannya ke Hospital Kluang dan dirawat di Wad 2 hospital itu sebelum dibenarkan keluar, kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Akibat serangan itu, katanya, dia mengalami pening serta berasa kepala berdenyut ketika dirawat di hospital, menyebabkannya terpaksa meniarap untuk tidur, manakala bahagian dalam sebelah kiri mulut mengalami luka kecil.

"Ketika di hospital, seorang rakan memberitahu lelaki terbabit adalah bapa saudara kepada seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sekolah kami," katanya yang sudah tiga tahun bertugas di sekolah terbabit.

Menurutnya, sepanjang bertugas di sekolah itu, dia tidak pernah bertindak kasar terhadap pelajar, kecuali memberi nasihat serta teguran jika perlu dan kejadian ini adalah yang pertama menimpa dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Sebastian Gaong Nanang, mengesahkan menerima laporan guru terbabit.

"Laporan itu menyebut guru berkenaan ditumbuk seorang lelaki di pipi, kira-kira jam 11.45 pagi semalam di kawasan sekolah terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum mengenalpasti motif kejadian dan belum membuat tangkapan.


Sumber : reocities.com


*****************************************************************************************

NUTP bidas Najib

MELAKA, Ahad - Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) hari ini menyelar kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meminta guru atau pengetua yang enggan mendisiplinkan pelajar, supaya meninggalkan profesion itu.

Kenyataan itu adalah susulan tindakan NUTP yang meminta 70,000 ahlinya tidak mendisiplinkan pelajar berikutan tindakan polis menahan seorang guru di Johor Bahru, kerana merotan anak murid yang tidak menyiapkan kerja rumah.

Pengerusi KPPK negeri, Mohd Ali Mohd Ibrahim, berkata kenyataan itu tidak adil kerana Najib tidak mengambil kira jasa guru selama ini yang berusaha menerapkan disiplin di kalangan pelajar.

"Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Najib tidak memahami tekanan dan masalah yang dihadapi guru ketika menjalankan tugas," katanya.

Menurut Mohd Ali, kenyataan Najib itu `terlalu keras' dan menggugat profesion perguruan di negara ini, sehinggakan guru besar dan guru berasa khuatir untuk mendisiplinkan pelajar.

"Setakat ini, tiada undang-undang yang melindungi kami, dan pada akhirnya, guru juga yang terpaksa memohon maaf. Tindakan ini tidak bermoral serta memberi kesan negatif kepada murid," katanya.

Mohd Ali berkata, oleh kerana pelajar dan ibu bapa boleh mempersoalkan tindakan guru, guru tidak boleh menjalankan lagi tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Beliau memberi contoh, awal tahun ini, kes seorang pelajar menengah di negeri ini menyimbah asid ke tubuh gurunya, menyebabkan guru itu terpaksa dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, Mohd Ali berkata, tiada tindakan yang diambil terhadap pelajar itu.

Mohd Ali juga mendakwa, baru-baru ini, kereta dua guru displin dilontar batu oleh pelajar yang dikenakan disiplin oleh mereka.

"Kini, sudah tiba masanya kementerian mengkaji semula tugas kita dan meletakkannya pada satu peringkat yang mana kita boleh terus menabur bakti kepada masyarakat," katanya.


Sumber : reocities.com

***************************************************************************************

Kenyataan NUTP tidak bertanggungjawab: Najib

KUALA LUMPUR, Jumaat - Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan disiplin terhadap pengetua dan guru yang enggan melaksanakan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar, kata Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menyifatkan keputusan Kesatuan Kebangsaan Profesyen Perguruan (NUTP) dan Majlis Persekutuan Guru besar Malaysia (MFHC) enggan mendisiplinkan pelajar, sama seperti mengingkari arahan kerajaan.
Setiausaha Agung NUTP, N Siva Subramaniam semalam mengumumkan, ahli kesatuan itu yang terdiri 70,000 guru di seluruh negara, tidak akan mendisiplinkan pelajarnya, termasuk mengenakan hukuman berat.
Langkah itu dibuat kerana kesatuan berkenaan tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa pegawai polis yang menahan seorang guru di Johor Bahru baru-baru ini, bertindak terlalu ghairah dan bersemangat.
Keputusan itu turut diambil oleh MFHC, yang memutuskan akan memboikot tugas pengawasan sebaliknya lebih menumpukan kepada aspek pentadbiran sekolah, berkuatkuasa serta merta.

Najib yang kesal dengan perkembangan itu berkata, pengetua dan guru terbabit boleh memilih sama ada mematuhi arahan kerajaan atau pun meletakkan jawatan.
"Saya tidak boleh menerima bahawa jika kita meninggalkan unsur disiplin, termasuk hukuman yang mana patut, kita mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik dan ini merangkumi bidang tugas seorang guru.
"Sehubungan itu, kementerian memandang berat kenyataan NUTP itu dan mereka tidak seharusnya melakukan perkara ini. Mana-mana guru yang tidak mengambil tindakan disiplin, iaitu mengikut arahan kerajaan, maka guru itu bersalah," katanya selepas melawat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Khalid Yunos dan Pengetua SSBJ, Abdullah Alias.
Najib menafikan polis mengambil ringan perkara itu. Malah dalam pertemuannya dengan Rahim kelmarin, Ketua Polis Negara sendiri mengakui beliau tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.
"Tindakan NUTP itu tidak berpatutan kerana polis sudah memberi pengakuan bahawa kes di Johor itu tidak mendapat restu pimpinan atasan polis. Sepatutnya mereka (NUTP) menganggap perkara ini sudah selesai," katanya.
Mengenai tindakan terhadap guru yang ingkar, beliau berkata perkara itu agak jelas iaitu guru yang mengabaikan bidang tanggungjawabnya akan dihukum di atas kecuaian tugas.
"Saya sendiri sukar membayangkan perkara ini... jelas sekali NUTP bertindak luar batasan dan diluar tanggungjawab mereka sebagai sebuah kesatuan sekerja," katanya.
Mengenai keputusan MHFC, beliau berkata majlis itu tidak berhak berbuat demikian kerana mereka adalah pegawai kerajaan yang tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa.
Sebagai pegawai kerajaan, mereka tidak boleh mengarahkan mengikut sesuka hati sebaliknya melakukan apa yang dipertanggungjawabkan, dan perkara itu amat jelas.
"Sesiapa yang tak nak buat kerja ikut arahan tak layak jadi pengetua. Kita boleh pilih orang lain, dan tindakan boleh dikenakan," katanya.
Pada 8 Ogos lalu, dua anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor pergi ke sekolah dan menahan Fong Yu V ketika mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina selepas aduan polis bahawa beliau merotan lima murid kerana tidak membuat kerja rumah pada 31 Julai.
Guru wanita itu dikatakan dipaksa masuk ke dalam trak dan dibawa ke balai polis walaupun sebelum itu guru besar sekolah berkenaan menawarkan untuk menghantar guru itu ke sana.
Sumber : reocities.com


******************************************************************************************** 

Usah perbesar guru digari: KPN

KUALA LUMPUR, Jumaat - Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor meminta semua pihak supaya tidak memperbesarkan kes penahanan seorang guru di Johor, baru-baru ini, kerana bimbang ia akan mencetuskan keadaan yang tidak terkawal.
Menurutnya, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan bijaksana dan beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja untuk mencari jalan keluar terbaik untuk semua pihak.
"Sebenarnya setiap permasalahan yang timbul perlu diselesaikan dengan bijaksana dan bukan dengan memperbesarkannya, jika ini berlaku, sampai bila pun masalah tidak akan selesai," katanya.
Beliau menegur kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Siva Subramaniam yang melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung kes berkenaan.
Kenyataan Siva itu disiarkan beberapa akhbar tempatan sebagai tajuk utama hari ini.
"Mengapa Siva tidak berjumpa dengan saya terlebih dahulu untuk membincangkan perkara itu. Kalau saya boleh berbincang dengan Menteri Pendidikan (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengapa tidak dengan beliau?", katanya kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang badminton Perkep Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu penahanan seorang guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Foon Yew V pada 8 Ogos lalu, yang didakwa merotan lima murid kerana tidak membuat kerja rumah.
Berikutan itu, guru itu dilaporkan ditahan seorang inspektor yang masih dalam tempoh percubaan selepas kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Penahanan berkenaan turut mendapat perhatian Najib yang menegur cara penahanan itu yang disifatkan boleh mengaibkan maruah guru dan menimbulkan pandangan serong terhadap mereka.
Rahim yang membuat kenyataan balas, menyifatkan tindakan anggotanya itu mengikut peruntukan undang-undang tetapi hanya caranya tidak kena berikutan kekurangan pengalaman.
Najib kemudiannya menyifatkan isu itu tamat dan menerima penjelasan Rahim.

Rahim berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis mengambil tindakan ke atas setiap laporan yang diterima kerana jika tidak, mereka akan dipersalahkan.

"Laporan yang dibuat oleh keluarga murid terbabit bukanlah atas desakan polis tetapi atas kemahuannya sendiri, jadi sebagai pihak berkuasa adalah wajar untuk pihaknya mengambil tindakan.

"Hal ini soal disiplin sekolah... polis langsung tidak berniat untuk mengambilalih soal disiplin," katanya.
Mengenai penarikan laporan polis oleh keluarga pelajar itu, beliau berkata, siasatan akan terus dijalankan.
Rahim juga mempertahankan caranya menangani isu itu termasuk caranya bertindak ke atas anggota terbabit.

"Sebagai seorang pemimpin, saya tidak akan menghukum pegawai saya di khalayak ramai, itu bukanlah satu tindakan yang wajar dan menunjukkan kelemahan kepimpinan saya," katanya.

Mengenai ancaman Persatuan Guru Besar mahu menyaman polis, beliau berkata: "Tidak salah untuk menyaman pihak polis dan tindakan seumpama ini, bukanlah satu perkara yang baru.

"Setiap rakyat mempunyai hak dan dilindungi oleh perlembagaan dan tiada siapa boleh mengahalang mereka membuat aduan, sekalipun menyaman pihak polis."

Sumber : reocities.com

******************************************************************************************

Tumbuk muka cikgu

KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di ibu kota bukan saja dimaki-hamun pelajarnya, malah turut ditumbuk berulang kali pada muka menyebabkannya mengalami kecederaan.
Difahamkan, dalam kejadian Isnin lalu, pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun terbabit hilang kawalan selepas didenda guru itu kerana tidak membawa buku teks mata pelajaran diajarnya.
Semuanya bermula kira-kira jam 12 tengah hari apabila guru berusia 24 tahun itu mengarahkan pelajar tertabit keluar dari kelasnya dan berdiri di hadapan pintu sebagai hukuman.

Menurut sumber, pelajar terbabit dalam keadaan marah keluar dan berdiri di hadapan kelasnya sambil mencaci guru berkenaan.

“Bagaimanapun, guru berkenaan tidak mengendahkan tindakan pelajar terbabit dan meneruskan sesi pembelajaran,” katanya.

Sumber itu berkata, sikap biadab pelajar itu berterusan apabila dia cuba mengeruhkan keadaan dengan mengganggu pelajar lain yang mengikuti pembelajaran.

“Setiap kali ditegur guru berkenaan, pelajar terbabit memaki-hamun mangsa menyebabkan keadaan tegang seketika. Bukan sekali dua ditegur, guru berkenaan menegurnya lebih 10 kali, namun dia masih berdegil dan cuba mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Difahamkan, pelajar itu menghamburkan kata-kata kesat kepada guru berkenaan lebih 20 minit menyebabkan mangsa mula berang.

Menurut sumber itu, guru berkenaan keluar dari kelasnya sebelum memukul bahu pelajar terbabit menggunakan buku teks dipegangnya.

Bagaimanapun, buku itu terjatuh apabila pelajar terbabit mengelak.

Tindakan guru berkenaan yang tunduk untuk mengambil semula buku itu mengundang padah apabila dia diserang pelajar terbabit.

Sumber itu berkata, guru berkenaan ditumbuk lebih lima kali pada muka menyebabkannya cedera.

Difahamkan, guru itu tidak melawan kerana terkejut tindakan berani dan melampau pelajar terbabit.

Menurutnya, kejadian itu bukan saja disaksikan pelajar lain, malah beberapa guru yang mengajar di kelas bersebelahan.

“Seorang daripada guru yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan memberkas pelajar terbabit yang sedang mengamuk,” katanya.

Pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Guru berkenaan diarahkan tampil di balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, pelajar terbabit sudah dibuang sekolah berikutan tindakan keterlaluannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu kes itu sudah dirujukkan semula kepada pentadbiran sekolah untuk tindakan lanjut.

Usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan lanjut pihak pentadbiran sekolah berkenaan gagal.

Sumber : hmetro.com
 ********************************************************************************************